Pengajaran Ramadan dalam Pandemik

Loading...

Pejam celik, pejam celik, Ramadan bakal meninggalkan kita. Perasaan bercampur baur dengan syahdu meninggalkan bulan mulia dan keterujaan untuk menyambut Syawal kadang membuatkan kita tertanya. Adakah kita telah menjalani ibadah puasa dengan sempurna? Apakah pengajaran yang kita peroleh sepanjang bulan berkat ini? Terutamanya dalam suasana pandemik, di mana pergerakan kita adalah terhad dan lebih banyak duduk di rumah sedang kita berpuasa. Walaupun ini merupakan tahun kedua umat Islam berpuasa dalam suasana pandemik, cabaran yang dihadapi tidak kurang dengan tahun sebelumnya. Namun, tentu ada pengajaran yang boleh dibuat iktibar untuk semua, dan menyiapkan kita untuk menghadapi bulan-bulan yang mencabar sehingga Ramadan seterusnya.

Tingkat produktiviti dengan teknologi

Penggunaan teknologi dapat melatih kita dari segi pengurusan masa dan aktiviti, supaya lebih efisyen dan pada masa yang sama dapat meningkatkan kefahaman terhadap penggunaan teknologi dalam talian. Sebagai contoh aplikasi Microsoft Teams, Google Meet dan Zoom Meeting untuk perbincangan kerja atau peribadi. Dari segi kualiti pengurusan masa, tempoh mesyuarat, serta perbincangan juga dapat dioptimumkan kepada agenda yang lebih berfokus dan juga memberi keselesaan kepada pengguna aplikasi kerana persiapan untuk menghadiri mesyuarat atau perbincangan akan menjadi lebih minimal berbanding perjumpaan fizikal.

Penggunaan teknologi dalam talian sebelum ini mungkin agak asing terutama pada golongan bekerja yang lebih berumur, tapi peluang sebegini pastinya membolehkan setiap lapisan warga kerja mempelajari teknologi masakini. Mungkin juga akan menyumbang kepada peningkatan profil-profil sosial media baharu apabila ‘makcik’ dan ‘pakcik’ mula asyik dengan keupayaan hubungan teknologi ini.

Berjimat dan bersederhana

Ramai antara kita bersyukur kerana dapat menyambut Ramadan dalam keadaan yang lebih baik dari tahun lepas. Antara sebabnya adalah kerajaan telah membenarkan bazar Ramadan dibuka dengan syarat SOP dipatuhi. Menyambut Ramadan dalam suasana pandemik ini mengajar kita erti kesederhanaan. Sebelum ini kita sering didedahkan dengan isu pembaziran makanan yang berlaku pada bulan Ramadan. Namun sekarang ramai yang memilih untuk memasak juadah berbuka puasa di rumah atau membeli dengan berpada-pada di bazar Ramadan. 

Sesungguhnya pandemik di Ramadan kali ini adalah satu butang reset untuk manusia kembali kepada fitrah. Tiada waktu lain yang paling sesuai untuk menghidupkan Sunnah melainkan sekarang. Makan secara minimum, solat di awal waktu, membaca dan mendalami Al-Quran secara lebih total dan berzikir bagi memenuhi waktu terluang.

Beri ruang dan masa untuk beribadah

Ramadan tahun ini pasti juga akan memberi hikmah yang besar apabila muslimin dan muslimat akan lebih menghabiskan masa di rumah, selain berpeluang meluangkan masa lebih bersama keluarga, kita juga boleh lebih menumpukan kepada ibadah di bulan Ramadan. Sempena mengisi masa lapang di rumah, mungkin kita boleh cuba habiskan 1 Juzuk Al-Quran sehari dan menjelang 30 Ramadan, dengan izinNya, muslimin dan muslimat dapat menghabiskan 30 Juzuk Al-Quran sempena Ramadan PKP 2021 ini. Besar pahalanya pasti.

Istiqomah

Kehadiran Ramadan dalam suasana pandemik bukanlah penghalang bagi kita untuk meraih ganjaran yang besar. Malah, pada tahun ini kerajaan telah memberi kebenaran untuk umat Islam mendirikan solat tarawih di masjid dan surau mengikut SOP yang ditetapkan. Walaupun kita tidak dapat menunaikan solat tarawih di masjid atau surau setiap hari kerana jumlah jemaah yang terhad, kita masih boleh melakukan ibadah dengan penuh istiqomah di kediaman masing-masing.

Detik manis Tarawih di rumah

Amalan solat tarawih juga bukanlah satu masalah, kerana ianya masih boleh dilakukan di rumah tanpa perlu ke masjid atau surau. Buat yang selama ini sekadar menjadi makmum di surau atau masjid, kali ini diberi peluang memegang tugas baharu iaitu ‘Imam’ dalam melaksanakan solat sunat tarawih di rumah tahun ini. Tidak tahu cara bagaimana untuk menjadi Imam tarawih? Tak perlu risau, pelbagai medium atas talian di sediakan bagi memudahkan para ‘Imam baru’ untuk rujuk cara pelaksanaannya.

Semoga Ramadan ini adalah yang terbaik untuk kita semua dan kesempatan ini diambil untuk muhasabah diri masing-masing. Pandemik ini mengajar manusia memanfaatkan bulan Ramadan yang sebenar, Jadi teruslah bertahan, yakinlah bahawa Tuhan itu tidak menguji seorang hambanya, melainkan hambanya itu benar-benar mampu.






 

To Top